loading...
Ia memiliki gelaran "a mighty hunter" yang bermaksud "pemburu yang hebat" atau "pemburu yang perkasa", kerana kebijakannya dalam berburu.
Nama lengkapnya adalah Namrudz bin Kan'aan bin Kush bin Ham bin Nuh (Nabi Nuh a.s.) atau juga sesetengah pendapat (Raja Namrud bin Kush bin Ham bin Nuh).
Selain itu beliau diberi gelaran Dewa Bacchus atau Dewa Wain serta Dewa Matahari.
Namrud sendiri merupakan kata jamak yang mempunyai pengertian “Mari memberontak". Namanya tercatat dalam Taurat, Injil dan kisah-kisah Islam.
Pada zamannya, Namrud merupakan seorang raja yang cerdas, namun kecerdasannya itu membuatnya bersikap sombong dan takbur sehinggakan dia mengaku menjadi seorang ateis atau sebagai Tuhan dan usahanya mendapat tentangan hebat dari Nabi Ibrahim a.s.
Namanya terkenal kerana usahanya sebagai pendiri Menara Babel. Menurut Kitab Bible kerajaannya termasuklah Babel, Erech, Accad dan Calneh, di tanah Shinar, yang juga dikenali sebagai tanah Namrud.
Keturunan Nabi Nuh a.s
Bapa Namrud ialah Kush iaitu cucu kepada nabi Nuh a.s., manakala ibunya ialah Semiramis. Ibunya pada usia remaja telah berkahwin dengan bapanya.
Adalah dipercayai sehari selepas mengadakan hubungan kelamin dengan Semiramis, bapanya telah meninggal dunia. Oleh itu, apabila Namrud lahir beliau tidak berbapa.
Ibunya adalah seorang yang wanita yang cantik lagi bijaksana. Setelah beliau dilahirkan, ibunya membuat cerita kononnya dia tidak pernah disentuh oleh manusia dan Namrud adalah anak yang suci. Ini telah menambahkan keyakinan Namrud bahawa beliau adalah anak tuhan.
Apabila beliau menjadi dewasa, beliau menjadi seorang yang kacak dan ibunya cemburu dengan teman wanitanya. Oleh itu, Semiramis telah berkahwin dengan Namrud iaitu anaknya sendiri.
Pemerintahan Raja
Raja Namrud telah dianugerahkan daya intelek yang tinggi dan menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti seni reka, matematik dan ilmu falak.
Beliau telah menemui sistem sexagesimal yang membahagikan bulatan kepada 360 darjah, satu darjah kepada 60 minit dan 1 minit kepada 60 saat.
Selain itu beliau menetapkan bahawa satu hari terbahagi kepada 24 jam setiap jam kepada 60 minit dan 1 minit kepada 60 saat.
Menurut beliau, hari bermula pada waktu tengah malam dan bukannya pada waktu matahari terbenam seperti yang dipercayai oleh kaum sebelumnya.
Disamping itu, Namrud mahir dalam pengiraan matematik dalam pembinaan bangunan-bangunan besar, jambatan, kuil, mahligai dan empangan.
Antara sumbangan beliau ialah pembinaan sistem saliran irrigation di lembah Tigris dan Euphrates.
Beliaulah orang pertama yang menggunakan batu-bata dari tanah liat yang terbakar burnt clay sebagai bahan binaan bangunan.
Malah beliau terkenal sebagai arkitek Menara Babil iaitu pencakar langit yang pertama di dunia.
Malangnya sebagai seorang ateis, beliau telah menyalahgunakan kebijaksanaannya untuk menyesatkan rakyatnya.
Antara lain beliau telah menggunakan ilmu falak untuk mencipta pelbagai sistem meramal nasib seperti horoskop dan tilik nasib palmistry.
Tujuannya ialah untuk menunjukkan bahawa manusia tidak perlukan Tuhan kerana manusia mampu meramal dan mengubah nasibnya sendiri.
Selain itu, beliau membina banyak bangunan serta berhala yang tersergam indah agar manusia kagum dengan kehebatan ciptaannya sendiri.
Menara Babil yang bermaksud "Pintu Gerbang yang Sempurna" merupakan kuil dimana pendeta-pendeta menyanjung Namrud. Tujuannya dibina ialah untuk menaikkan sebuah bangunan yang mampu mencecah kayangan.
Menurut buku "Sejarah Para Rasul dan Raja" pada abad ke-9 oleh ahli sejarah Islam terkenal al-Tabari, menara tersebut telah dimusnahkan oleh Allah.
Pada mulanya para pembinanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Suryani, tetapi ia terpecah kepada 72 bahasa yang berlainan. Akibatnya mereka tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain dan tidak dapat meneruskan pembinaan menara tersebut.
Beliau juga amat meminati ilmu sihir dan menggunakannya untuk mempengaruhi fikiran rakyatnya. Adalah dipercayai beliau mempelajari ilmu tersebut dari dua malaikat Harut dan Marut yang pernah disebut dalam al-Quran.
Selain itu, beliau telah memulakan suatu era yang baru dimana manusia memandang rendah pada tuhan.
Rakyatnya tidak digalakkan untuk melakukan kebaikan demi tuhan kerana baginya tuhan yang ghaib adalah lemah.
Oleh itu orang ramai dibawah pemerintahannya boleh mengikut nafsu manusia seperti berpesta, seks rambang, meminum arak dan segala kemungkaran yang lain.
Oleh yang demikian, beliau diberi gelaran Bacchus atau Dewa Wain kerana beliau 'mabuk' dengan keduniaan.
Beliau juga mendakwa dirinya Tuhan kerana sebagai seorang manusia beliau lebih tahu mengenai kelemahan manusia lain berbanding Tuhan yang jauh terpisah dari makhluknya sendiri.
Raja Namrud yang zalim dengan Nabi Ibrahim a.s.
Kitab Injil tidak pernah menyatakan tentang pertemuan antara Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s. Malah terdapat jurang tujuh generasi antara mereka berdua, Namrud sebagai cicit Nabi Nuh a.s, manakala Ibrahim sepuluh generasi selepas Nabi Nuh. (Genesis 10,11).
Walaupun begitu, Kitab Taurat dan al-Quran menggambarkan pertembungan antara Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s sebagai satu konfrontasi hebat antara kebaikan dan kejahatan atau lebih spesifik lagi Monoteisme menentang Taghut dan Penyembahan Berhala.
Namun demikian menurut sumber Yahudi, Raja Namrud sempat bertaubat sebelum beliau meninggal dunia. Tetapi penganut Islam mempercayai bahawa beliau tetap dengan pendiriannya sebagai Tuhan sehinggalah keakhir hayatnya.
Ketibaan Nabi Ibrahim a.s.
Pada satu malam Raja Namrud bermimpi melihat bintang yang terbit dari barat. Semakin tinggi ia naik, semakin terang bintang itu menyinar. Sehinggakan ia sampai ke zenith dimana ia menerangi seluruh alam semesta.
Selepas terbangun Raja Namrud pun memanggil penasihatnya dan menceritakan mimpi tersebut. Penasihat itu memberitahu beliau bahawa terdapat beberapa tafsiran bagi mimpinya itu.
Antara tafsirannya ialah:
- Akan lahir seorang insan dalam masa setahun.
- Insan itu akan dilahirkan di Faddam A'ram.
- Insan itu akan menjadi pemusnah batu berhala.
- Insan itu akan membuktikan kepalsuan Raja Namrud.
- Insan itu akan menyebarkan agama bahawa tuhan yang esa wujud dan darinya akan lahir zuriat-zuriat para nabi dan aulia.
- Nabi terakhir dari zuriat ini akan membawa agama yang ibarat bintang di zenith iaitu menyinari seluruh alam semesta.
- Akibat insan ini Raja Namrud akan mati secara dasyhat.
Menurut cerita yang lain, Namrud bermimpi melihat seorang kanak-kanak melompat dan masuk ke biliknya, kemudian merampas mahkota yang dipakainya, lalu menghancurkannya.
Sebaik mendengar berita ini Namrud pun menjadi gelisah dan sedar bahawa insan ini akan membawa kepada kejatuhannya.
Dengan serta-merta Raja Namrud menghantar bala tenteranya ke Faddam A'ram. Penduduk lelaki telah dipisahkan dari isteri-isteri mereka. Wanita-wanita yang mengandung telah dibunuh.
Raja Namrud pun mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang melahirkan anak akan dibunuh bersama anaknya sekali.
Selepas satu tahun beliau mendapat petanda bahawa insan itu akan dilahirkan. Beliau mengesyaki Azaar iaitu orang yang paling dipercayainya kerana Azaar pernah dibenarkan untuk memasuki bandar tersebut.
Walaupun begitu Azaar menafikannya dan isterinya pula tidak menunjukkan tanda-tanda hamil.
Namun, beliau tidak mempercayainya dan menugaskan seorang tentera untuk menjaga isteri Azaar. Setahun telah berlalu dan tentera Namrud telah dikeluarkan dari bandar Faddam A'ram.
Nabi Ibrahim a.s. menentang kebatilan yang disebarkan Raja Namrud
Raja Namrud lega kerana menyangkakan bahawa beliau telah menggagalkan kelahiran insan yang akan menentangnya itu.
Walaupun begitu insan itu telah dilahirkan disebuah gua berhampiran Faddam A'ram.
Semasa insan itu iaitu Nabi Ibrahim a.s. dewasa beliau telah menghancurkan beberapa batu berhala. Ini telah menimbulkan kemarahan rakyat jelata yang menangkap serta membawanya kepada muka pengadilan dihadapan Raja Namrud.
Ditanyalah Nabi Ibrahim oleh Raja Namrud, "Apakah engkau yang menghancur dan merosakkan tuhan-tuhan kami?"
Dengan tenang dan selamba, Nabi Ibrahim menjawab, "Patung besar yang berkalungkan kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya."
Raja Namrud pun terdiam sejenak. Kemudian beliau berkata, "Engkau kan tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?"
Tibalah saat yang memang dinantikan oleh Nabi Ibrahim, maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir itu beliau berpidato membentangkan kebatilan persembahan mereka, yang mereka pertahankan mati-matian, semata-mata hanya kerana adat itu adalah warisan nenek-moyang.
Berkata Nabi Ibrahim kepada Raja Namrud itu, "Jika begitu, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata-kata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudarat, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri dari kehancuran dan kebinasaan?
Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan persembahan kamu itu! Tidakkah dapat kamu berfikir dengan akal bahawa persembahan kamu adalah perbuatan yang keliru yang hanya difahami oleh syaitan.
Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hina dinanya kamu dengan persembahan kamu itu."
Setelah selesai, barulah Raja Namrud sedar bahawa jejaka dihadapannya ialah insan dalam mimpinya itu.
Budak ini bijak berpidato dan mempunyai logik yang lebih tinggi daripada beliau dan mampu menggugat kepercayaan rakyatnya terhadap penyembahan berhala.
Selain itu, budak ini sangat yakin dengan wujudnya tuhan yang esa dan tidak percaya dengan berhala. Budak ini langsung tidak gentar dengan Raja Namrud dan berani membantahnya.
Raja Namrud pun tahu bahawa beliau mesti membunuh Nabi Ibrahim dengan serta merta. Lalu beliau pun membuat keputusan untuk membakar Nabi Ibrahim hidup-hidup sebagai hukuman atas perbuatannya menghina dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka.
Maka berserulah Raja Namrud kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu, "Bakarlah ia dan belalah tuhan-tuhanmu, jika kamu benar-benar setia kepadanya."
Nabi Ibrahim pun dilemparkan ke dalam bukit api yang menyala-nyala. Tetapi dengan ajaibnya beliau terselamat.
Hanya tali temali dan rantai yang mengikat tangan dan kakinya yang terbakar hangus, sedangkan tubuh dan pakaian yang terlekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh oleh api.
Orang ramai tercengang dengan keajaiban ini dan mula mempersoalkan kepercayaan kepada Raja Namrud.
Malah anak perempuan Raja Namrud sendiri, Puteri Razia mengaku di hadapan orang ramai bahawa tuhan Nabi Ibrahim a.s. adalah tuhan yang sebenarnya.
Ini telah menaikkan kemarahan Namrud yang mengarahkan tenteranya untuk membunuh puterinya itu. Puteri itu pun meluru kearah api yang besar itu lalu berkata, "Tuhan Nabi Ibrahim selamatkanlah aku".
Puteri Razia pun turut terselamat dari terbakar dalam api yang membara itu dan kedengaran dia mengucap kalimah syahadah.
Tindakan derhaka puterinya menjadikan hati Raja Namrud semakin membara. Sebaik sahaja puteri Razia keluar dari api tersebut beliau serta tenteranya telah mengejarnya kedalam hutan.
Ini memberi peluang kepada Nabi Ibrahim serta adik tirinya Sarah, bapanya Azaar serta anak saudaranya Nabi Luth a.s. untuk melarikan diri.
Raja Namrud dan tenteranya cuba mencari Puteri Razia tetapi puteri itu telah hilang. Selepas sekian lama, mereka pun pulang dan mendapati bahawa Nabi Ibrahim turut hilang.
Setelah peristiwa ini, Raja Namrud semakin gelisah kerana rakyatnya mula hilang kepercayaan terhadap kekuasaannya. Oleh itu, beliau berazam pula untuk membunuh Tuhan nabi Ibrahim.
Raja Namrud cuba membunuh Allah SWT
Seperti kepercayaan orang dahulukala, beliau menganggap bahawa Tuhan bersemayam di atas kayangan.
Oleh itu Raja Namrud telah berusaha untuk membina sebuah kenderaan yang mampu terbang keatas langit.
Empat ekor burung yang besar digunakan untuk mengangkat kenderaan itu kelangit. Empat tiang yang panjang dicucuk dengan makanan telah dinaikkan agar burung-burung itu terbang ke atas.
Beliau yakin apabila sampai dilangit, beliau akan menghampiri Allah dan boleh memanahnya sehingga mati.
Sebaik sahaja kenderaan naik keudara, Raja Namrud pun bersedia dengan anak panahnya.
Beliau terkenal sebagai pemanah yang handal dan hadiahnya yang paling besar ialah Allah.
Walaupun begitu, Namrud hairan kerana semakin tinggi kenderaan itu naik semakin jauh langit itu berada. Lama-kelamaan, udara pun menjadi semakin nipis dan beliau semakin sukar untuk bernafas.
Dengan sepenuh hati beliau mengacukan panahnya kelangit dan memanah keudara. Selang beberapa ketika kemudian, panahnya jatuh semula dengan berlumuran darah.
Raja Namrud berasa gembira kerana menyangka beliau berjaya membunuh Tuhan Nabi Ibrahim a.s. lalu Namrud pun menolak tiang-tiang itu kebawah supaya burung-burung itu semula ke bumi.
Apabila sampai ke tanah, Namrud dengan bangganya menunjukkan anak panahnya dikhalayak ramai dan mengaku bahawa beliau telah memburu serta membunuh Allah.
Raja Namrud pun menjemput Nabi Ibrahim a.s ke istananya untuk menunjukkan kekuasaan beliau.
Apabila ditunjuk akan panahnya itu, nabi Ibrahim bertanya apabila Raja Namrud memanah tuhan, adakah langit semakin jauh atau semakin dekat. Beliau terpaksa mengaku bahawa langit semakin jauh.
Nabi Ibrahim mendakwa bahawa darah itu adalah sebenarnya darah ikan yang dilumur oleh malaikat dilangit dan Raja Namrud tidak berupaya untuk membunuh Allah.
Barulah beliau sedar bahawa beliau telah dikaburkan matanya oleh Allah. Namrud tetap mahu menunjukkan kekuasannya.
Lalu beliau memanggil tenteranya untuk membawa dua orang tawanan. Satunya telah dikenakan hukuman bunuh manakala seorang lagi telah dibebaskan.
Dengan angkuh beliau berkata berkata kepada nabi Ibrahim, "Lihatlah saya dapat memberi kehidupan kepada seorang dan mengambil nyawa orang yang lain!"
Nabi Ibrahim pula menjawab, "Tuhan yang saya sembah berkuasa untuk menerbitkan matahari dari timur. Bolehkah Raja Namrud menerbitkan matahari disebelah barat pula?"
Beliau pun terpaksa mengaku kalah dengan logik nabi Ibrahim a.s.
Dengan nada yang tinggi beliau mencabar Allah untuk menentangnya disebuah tempat tertentu. Beliau akan mengumpul seluruh bala tenteranya untuk berperang dengan Allah.
Kematian Raja Namrud
Raja Namrud pun mengumpul bala tenteranya yang ramai lengkap dengan senjata yang serba canggih untuk menghadapi Tuhan nabi Ibrahim a.s.
Apabila tiba ditempat itu, Allah telah menurunkan beribu-ribu nyamuk atau serangga yang halus.
Senjata buatan manusia yang paling hebat pun tidak mampu menepis serangan makhluk yang halus ini.
Dalam beberapa ketika, mereka telah menembusi kulit tentera Raja Namrud dan membunuh mereka dengan dahsyat sekali.
Namrud bagaimanapun berjaya melarikan diri tetapi seekor nyamuk telah masuk ke otaknya.
Dipercayai selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Namrud merana kerana otaknya dihisap oleh nyamuk itu.
Dalam tempoh tersebut, nabi Ibrahim sering mengunjungi serta memberi dakwah kepada beliau, namun Namrud tetap mendakwa dirinya Tuhan.
Akhirnya Namrud memanggil orang suruhannya untuk mengambil sebatang besi yang besar untuk memukul kepalanya agar sakitnya hilang.
Selepas kepalanya dipukul, Namrud mengarahkan orang suruhannya untuk memberi pukulan yang paling kuat dan ini telah membawa kepada kematian Raja Namrud yang zalim itu. Kemudian, nyamuk tersebut merangkak keluar dari telinganya.
Maka berakhirlah kehidupan seorang raja takbur yang mati akibat serangan seekor nyamuk yang kecil.
Wallahu a'lam.
loading...
0 Response to "Kisah Raja Namrud Yang Mengaku Sebagai Tuhan Mati Di Bunuh Seekor Nyamuk "
Post a Comment