Dunia Akhir Zaman!! Apabila Suami 'alim' curang dengan wanita bertudung labuh

loading...


$%Ana sama sekali tidak menyangka. Perwatakan alim suaminya yang berubah secara drastik, rupa-rupanya sekadar lakonan. Patutlah selama ini, ada sahaja alasannya bila ditanya kenapa dia pulang lewat ke rumah. Katanya ada perbincangan dengan kumpulan sekuliah.

Aiman, dahulu tidak begitu. Sekalipun tidak bekerja, namun Ana masih boleh menerima keadaan tersebut. Sudah ditakdirkan, Aiman terpaksa berhenti kerja gara-gara syarikatnya tidak mampu lagi meneruskan operasi. Setahun Aiman menganggur. Puas dia meminta kerja ke sana ke sini, namun hampa.

Ana lalu mencadangkan agar Aiman menyambung pengajiannya. Manalah tahu dengan sijil ijazah yang akan diperoleh itu ‘rezeki’nya lebih mudah. Aiman setuju. Segala kos perbelanjaan pengajiannya ditanggung Ana.

Sesi kuliah bermula, Aiman mula sibuk dengan tugasan-tugasan yang diberikan pensyarahnya. Justeru, tugas mengemas rumah dan menjaga anak diserahkan kembali kepada Ana.

Aiman pula sering memberi alasan dia sibuk dengan pengajiannya. Ana cuba memahaminya. Namun, Ana sedikit curiga kerana Aiman sering pulang lewat. Bila ditanya, Aiman mula baran.

Sejak itu perangai Aiman pelik. Dia suka menyendiri. Telefonnya pula sentiasa ada di tangan. Pernah sesekali Ana terdengar perbualan telefon Aiman. Suaranya cukup lembut dan banyak nasihat agama dituturkan.

Paling memeranjatkan Ana, Aiman sudah mula menggunakan kuasa ‘suaminya’ untuk mengugut Ana. Pantang silap sikit, Aiman mula mengancam Ana dengan talak.

Hakikatnya, bukan Ana tidak tahu perangai Aiman di belakangnya. Ana sendiri pernah terlihat Aiman bersama seorang wanita bertudung labuh, sedang makan berdua-duaan. Lagaknya macam sudah kenal lama. Mesranya, bukan main lagi. Bukan sekali, tapi adegan seumpama itu telah lebih dua tiga kali Ana nampak. Bila ditanya, Aiman menafikannya. Apabila dirisik-risik barulah Ana tahu, wanita itu adalah pelajar sekuliah Aiman.

Ana rasa dirinya ditipu hidup-hidup. Mungkin sudah tiba masanya untuk Ana memberanikan diri menerima ugutan talak daripada Aiman. Ana tidak mahu sepanjang hidupnya ditipu suami yang tidak tahu mengenang budi.

Tip kaunselor

ISU suami berselindung di sebalik perubahan tingkah laku zahirnya bukanlah satu cerita baharu. Sebagai isteri, berhati-hatilah dengan perubahan suami, khususnya apabila ia berlaku secara drastik, agar tidak menjadi mangsa penipuan. Tip kaunselor kali ini memandu pembaca untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi situasi sama.

1 Sebagai suami isteri,sikap percaya dan jujur merupakan elemen penting untuk mengekalkan perhubungan perkahwinan kerana tanpa sikap ini rumah tangga akan sentiasa berada dalam keadaan tertekan dan boleh menimbulkan perselisihan yang berpanjangan dan membingungkan.

2 Apabila suami menunjukkan perubahan yang mengelirukan, seperti berubah tingkah laku, suka memberi alasan apabila diminta melakukan sesuatu atau mulai menyimpan barang-barang peribadi seperti telefon bimbit, beg duit, beg kerja dan sebagainya, ia adalah petanda sesuatu sedang berlaku di luar pengetahuan isteri.

3 Tidak dinafikan, bukanlah semua suami yang berubah seperti yang disebutkan mempunyai agenda peribadinya untuk menutup perbuatan penipuannya terhadap isteri. Tetapi ada juga yang berubah, kerana keinginannya secara ikhlas untuk berubah. Cuma yang membezakannya, apakah perubahan itu konsisten atau untuk tempoh tertentu. Dan isteri seharusnya bijak untuk menilai.

4 Sekiranya isteri dapat mencium penipuan suami, isteri perlulah berterus terang dengan suami dengan mendapatkan penjelasan daripadanya. Dan sekiranya ada bukti, itu lebih utama supaya suami tidak menuduh, isteri hanya memasang jerangkap samar.

5 Jika suami berdolak-dalih tentang perkara tersebut, mohon untuk berhadapan dengan individu atau pihak yang terlibat. Sekiranya suami bercakap benar, isteri perlu belajar menerimanya tanpa ada rasa syak. Ini kerana apabila perasaan dan fikiran tersebut tidak diselesaikan ia akan meninggalkan keraguan yang berpanjangan.

6 Sebaliknya jika pengakuan suami menepati apa yang disangka selama ini, isteri perlu bersedia untuk melakukan tindakan yang sewajarnya seperti melibatkan suami dalam perbincangan secara serius dengan pihak yang diberi autoriti, membantu pasangan yang buntu.
Pandangan Kaunselor

KEHIDUPAN di zaman serba canggih ini menagih pasangan suami isteri untuk bijak mengatur segala keperluan rumah tangga. Baik daripada segi masa, komunikasi dan kewangan, ia memerlukan pasangan untuk saling memahami antara satu sama lain. Tambahan pula apabila masing-masing bekerja.
Suami dan isteri perlu belajar menyesuaikan diri dengan gaya kehidupan berumah tangga. Sekali gus bersedia daripada segi mental dan fizikal. Ini kerana rumah tangga adalah ruang untuk memenuhi keperluan peribadi dan ahli keluarga yang menjadi tanggungjawab setiap pasangan.

Apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak. Tanggungjawab itu akan menjadi lebih besar.
Apa pun, isu suami isteri bekerja atau salah seorang tidak bekerja perlu ditangani dengan baik kerana jika kedua-dua bekerja mereka perlu memahami kesibukan dan tumpuan kepada dua perkara yang utama iaitu kerjaya dan keluarga.

Begitu juga jika seorang sahaja bekerja. Jika suami sahaja bekerja dan kurang kemampuan untuk menanggung keluarga, isteri yang tidak bekerja perlu mencari peluang untuk menambah pendapatan keluarga. Namun jika suami berkemampuan, maka isteri boleh memberikan tumpuan kepada melayan keluarga dengan sebaiknya.

Berbeza jika suami tidak bekerja, pasti isteri akan menanggung segala keperluan hatta duit rokok dan kredit telefon suami. Inilah tekanan yang isteri terpaksa hadapi demi kelangsungan perkahwinan mereka.

Isu utama yang berlaku dalam keadaan seumpama ini bukanlah bekerja atau tidak, tetapi bagaimana pasangan menguruskan kehidupan keluarga dengan nilai-nilai yang positif. Sebagai contoh suami yang tidak bekerja, dia perlu melakukan tugasan rumah sebagaimana seperti isteri yang tidak bekerja. Sebenarnya inilah peranan suami sekalipun mereka bekerja. Namun hari ini, ia seolah-olah sudah menjadi peranan isteri secara mutlak.

Ada juga pasangan yang tidak bekerja tetapi mengambil kesempatan kepercayaan yang diberikan dan mengkhianatinya dengan pelbagai gejala, seperti hubungan terlarang dengan orang ketiga, menggunakan pasangan untuk membuat pinjaman peribadi bank dan pelbagai perlakuan yang akhirnya membawa masalah. Perkara ini terjadi apabila suami terlupa tentang tanggungjawab dan peranannya dalam rumah tangga.

Seorang isteri boleh menerima keadaan suami yang tidak bekerja dengan syarat suami tidak mengabaikan keluarga dan bijaksana menghargai isteri dengan menggunakan ruang masa untuk membantu mengurangkan beban isteri dan keluarga. Suami dan isteri yang baik sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk saling memahami keperluan masing-masing. Begitu pun, fitrah kejadian makhluk di muka bumi ini, suami harus berusaha mencari nafkah untuk menanggung keluarga dan bukannya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu isteri. Hanya dalam keadaan tertentu, ada kala isteri terpaksa mengambil alih tanggungjawab tersebut tetapi hanya untuk sementara dan bukan selama-lamanya.
loading...

0 Response to "Dunia Akhir Zaman!! Apabila Suami 'alim' curang dengan wanita bertudung labuh"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close