5 Fakta Pramugara AirAsia X Yang Viral Selepas Menari Persis Britney Spears

loading...
Nama Assraf Nasir terus menjadi popular apabila video beliau menari persis Britney Spears viral di media sosial

Assraf Nasir



Kru kabin kepada syarikat penerbangan tambang murah perjalanan jarak jauh AirAsia X mengakui video itu pada mulanya hanya untuk tontonan rakan-rakan sebelum ianya dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes di media sosial.

Video yang dimuat naik di Instagram itu memaparkan Assraf Nasir, menari lagak penyanyi pop antarabangsa. Britney Spears dalam video muzik lagu ’Toxic’.

Gaya Assraf saling tak tumpah seiras Spears, yang melakonkan watak seorang anak kapal pesawat di dalam video muzik tersebut yang popular sekitar tahun 2004.

Video itu dikongsi oleh 9gag di akaun Instagram mereka pada Ahad, dan ia terus menerima lebih dari 35,000 komen dan jumlah tontonan melebihi enam juta.

Setelah ia menjadi viral dan dikongsi oleh laman antarabangsa seperti Mashable dan The Huffington Post, adakah Assraf akan menghasilkan video lain?

Berikut adalah 5 perkara anda perlu tahu tentang Assraf dan video ‘Toxic’ yang dihasilkan beliau.

1. Mempunyai latar belakang dalam seni tarian

Assraf berkata beliau merupakan seorang penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari tahun 2007 hingga 2009.

“Saya kemudian menari secara profesional seperti untuk Puteri Gunung Ledang The Musical Season 3, dan pernah menjadi penari untuk sebuah konsert Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.

Beliau mula bertugas bersama AirAsia X pada Julai 2016 kerana turut berminat untuk menjadi seorang kru kabin.

“Antara maafaat adalah diberi peluang untuk melihat satu dunia,” katanya.

2. Video dirakam dalam masa 15 minit sahaja

Percaya atau tidak, video ’Toxic’ itu dirakam dalam masa 15 minit ketika pesawat itu dalam transit di Taipei dan selepas melalui proses pembersihan pesawat.

“Saya sudah tahu babak apa yang ingin dirakam dan saya suruh rakan setugas saya rakam video itu.

“Ia dibuat untuk berseronok sahaja. Kami gelak-gelak ketika merakam video itu,” katanya.

3. Gementar apabila Tony Fernandes tahu tentang video itu

Assraf berkata video yang dirakam di dalam pesawat itu dihasilkan secara suka-suka dan tidak pernah dimuat naik di media sosial sebelum ini.

Katanya, ia juga untuk tontonan rakan-rakan terdekat sahaja jadi beliau gementar apabila mendapat tahu bahawa Tony tahu tentang video itu. 

“Tan Sri Tony Fernandes tahu video itu dari seorang eksekutif kru kabin apabila saya kongsi video itu dengan rakan setugas.

“Pada awalnya saya memang risau kerana takut akan didenda kerana kelihatan seperti sedang bermain. Namun eksekutif kru kabin itu berkata Tan Sri Tony suka benda-benda seperti ini.

"Selepas itu baru saya dapat tahu bahawa beliau kongi video itu di laman Instagram beliau,” katanya.

4. Tidak sangka video akan tular satu dunia

Pramugara berusia 29 tahun itu memang tidak sangka video itu akan tular di media sosial bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.

Malah, laman web seperti 9gag, Mashable dan The Huffington Post turut kongsi video itu.

“Secara jujurnya saya memang tidak sangka ia akan jadi seperti ini.

"Setelah video itu tular, saya terima pelbagai komen... ada yang positif dan ada yang negatif. Tetapi saya fokus kepada yang positif sahaja," kata Assraf. 

5. Tiada lagi video selepas ini

Assraf tiada perancangan untuk menghasilkan apa-apa video lagi selepas ini.

“Cukup dengan satu video ini sahaja," jelasnya. 

Dalam pada masa yang sama, beliau akui selesa bekerja di AirAsia kerana syarikat itu benar-benar menghargai bakat kakitangan mereka.

“Kerja tidak semestinya perlu serius sepanjang masa. Kita boleh berseronok juga.

“Malah, AirAsia boleh menjadi contoh kepada syarikat lain dimana mereka benar-benar menghargai bakat kakitangan mereka,” jelas Assraf mengakhiri perbualan.









loading...

0 Response to "5 Fakta Pramugara AirAsia X Yang Viral Selepas Menari Persis Britney Spears "

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close