loading...
Orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan dan mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan Rejab adalah Bani Mudhar.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat ALLAH menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada 12 bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut iaitu bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Riwayat Bukhari)
Ternyata, Rejab termasuk antara bulan yang dimuliakan ALLAH. Justeru, ia telah tersebar dalam masyarakat bahawa terdapat amalan khas sempena Rejab yang dikatakan memiliki fadilat besar.
Hakikatnya, tidak wujud satu pun dalil sah yang menunjukkan terdapat amal ibadat tertentu sempena Rejab.
Hal ini telah diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab: tidak ada hadis sahih tentang keutamaannya (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.
Antara perkara ibadat yang dikaitkan Rejab adalah:
1. Puasa Rejab
Telah masyhur dalam masyarakat bahawa disunatkan berpuasa pada 1 Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, Nisfu Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.
Bagi menguatkan hujah puasa sunat ini, maka ia disandarkan dengan beberapa riwayat palsu serta lemah berserta ganjaran pahala yang besar.
Ibnu Rajab dalam al-Mughni pula berkata, “Mengenai keutamaan puasa khusus pada Rejab, tidak ada satu pun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah mahupun golongan sahabat.”
Ada kalangan masyarakat mengamalkan puasa berterusan selama tiga bulan iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah.
Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus-menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang. Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan, baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.”
Namun, jika seseorang itu berpuasa tanpa niat mengagungkan sebagaimana golongan jahiliah dan tidak meyakini fadilat palsu yang dikait puasa pada Rejab tersebut atau puasanya bertepatan dengan hari yang disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis, Ayyam al-Bidh (puasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka ia dibenarkan oleh syarak.
2. Solat Rejab
Terdapat beberapa solat yang dikhususkan seperti solat pada malam pertama dan 27 Rejab serta Nisfu Rejab.
Paling diketahui ramai adalah sembahyang pada malam Jumaat minggu pertama Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib.
Menurut Imam al-Nawawi berkata dalam Fatawa al-Nawawi, “Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela serta mungkar dan sangat diingkari, yang mencakupi kemungkaran sehingga ia harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya.
Golongan penguasa harus melarang manusia daripada melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnya.
Golongan ulama menulis buku khusus masalah ini dengan bertujuan untuk mengingkari, mencela serta membodohkan pelakunya.
Janganlah kita terperdaya oleh perbuatan majoriti pelakunya yang banyak terdapat di negara Islam.
Jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis seperti di dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali).
Ini kerana, kedua-dua solat itu iaitu (solat Raghaib dan Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil.”
3. Umrah Rejab
Ada juga pandangan bahawa adalah sunat untuk mengerjakan ibadat umrah pada bulan Rejab. Namun begitu, ‘Aishah RA berkata bahawa Rasulullah SAW tidak pernah membuat ataupun menganjurkan umrah pada bulan Rejab.
Dikisahkan bahawa: Daripada Mujahid dia berkata, “Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid.
Ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar sedang duduk di samping bilik Saydatina ‘Aishah. Kemudian beliau berkata kepadanya, ‘Berapa kali Rasulullah melakukan umrah?’ Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab, ‘Empat kali, satunya pada bulan Rejab.’ Kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.
Dia (Mujahid) berkata, ‘Kami mendengar dia (iaitu ‘Aishah) sedang bersiwak.’ Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aishah, ‘Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman?
Aishah bertanya, ‘Apa yang dia katakan?’ Aku menjawab, ‘Dia berkata bahawa Rasulullah pernah mengerjakan umrah pada Rejab.’
‘Aishah pun berkata, ‘Semoga ALLAH merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu umrah pun melainkan aku (yakni ‘Aishah) ikut bersama dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." (Riwayat Al-Bukhari)
4. ‘Atirah Rejab
‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada Rejab dan diguna orang Arab jahiliah untuk mendekatkan diri kepada tuhan mereka.
Ia dilaksanakan pada 10 hari pertama Rejab dan haiwan yang biasanya digunakan untuk ritual ini adalah kambing.
Sesetengah umat Islam masih melaksanakan ‘atirah ini dengan didasari beberapa hadis seperti berikut:
a) Al-Harith bin Amru bertanya Rasulullah tentang ‘atirah. Baginda menjawab: "Sesiapa yang mahu menyembelih ‘atirah, silakan menyembelih. Sesiapa yang tidak mahu, jangan menyembelih." (Riwayat Imam al-Nasa’i)
b) Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkorban dan menyembelih ‘atirah setiap yang kalian namakan Rajaban." (Riwayat At-Tirmidzi)
Namun, hadis tersebut menunjukkan ‘atirah diizinkan pelaksanaannya pada zaman awal kedatangan Islam. Bagaimanapun, hukumnya telah dimansuhkan.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah, Daripada Abu Hurairah, "Tidak ada lagi fara’ dan juga ‘atirah.
Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak.
Sedangkan ‘atirah adalah kambing yang disembelih pada 10 hari pertama Rejab." (Riwayat Al-Bukhari)
5. Sambutan Israk Mikraj
Tanggal 27 Rejab adalah tarikh yang dianggap mulia dan hari kebesaran bagi kebanyakan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Hakikat yang sebenar ialah tarikh peristiwa Israk Mikraj ini tidak disepakati kalangan ulama. Ulama masih berbeza pandangan tentang perkara ini.
Al-Hafiz Ibu Hajar al-‘Asqolani berkata, “Golongan ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi.
Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.”
Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan, “Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa israk dan mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulama hadis) hal itu merupakan pembohongan.”
Pengajaran daripada perselisihan pendapat Israk Mikraj, bagi penulis apabila menyampaikan ilmu berkaitan agama, maka hendaklah kita berlaku adil dan memastikan kesahihan fakta.
loading...
0 Response to "Amalan Dan Ibadah Yang Sering Dikaitkan Di Bulan RejaB"
Post a Comment